Thursday, June 10, 2010

4 Jenis Manusia Tidak Masuk Syurga (Secara Terus)

4 Jenis Manusia Tidak Masuk Syurga (Secara Terus)

Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Empat (macam manusia) tidak Allah s.w.t. masukkan mereka ke syurga dan tidak akan merasai kenikmatannya, peminum arak, pemakan riba, menzalimi (memakan) harta anak-anak yatim dengan tiada hak dan derhaka pada ibu bapanya” (Riwayat Al-Hakim)

4 jenis manusia ini tidak masuk syurga melainkan mereka bertaubat, jika tidak mereka akan dimasukkan ke dalam neraka untuk dibersihkan terlebih dahulu sebelum dimasukkan kedalam syurga (orang yang mempunyai iman tetap masuk syurga).

1) Peminum arak
Dari Malik Al-Asy’ari berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “ Suatu masa nanti, orang-orang dari umatku akan minum arak yang mereka beri nama lain……” (Hadith riwayat Ibnu Majjah). Minum arak menyebabkan pintu langit ditutup bagi peminumnya, kerana semua amal baiknya dan doa-doanya tidak diterima selama 40 hari (amalannya tergantung dan tidak diberi pahala). Saintis juga mengatakan bahawa kesan dari arak dalam tubuh manusia hanya hilang setelah 40 hari.

Dalam mazhab Syafie, tiap yang memabukkan adalah haram. Manakala dalam mazhab Hanafi, arak atau khamar yang haram adalah arak yang berasal dari anggur atau tamar, misalnya wain (wine) dan jika terkena pakaian hendaklah dibersihkan kerana ia adalah najis. Mazhab Hanafi tidak mengharamkan arak yang diperbuat daripada selain tamar, misalnya “stout” yang diperbuat daripada barli, tetapi sekiranya memabukkan ia menjadi haram. Apapun jauhi minuman yang was-was, Rasulullah s.a.w kata jauhi yang mendatangkan kesangsian kepada yang tidak ada syak.

2) Pemakan riba

Allah istihar perang terhadap orang yang makan riba dengan sengaja:

Al-Baqarah [279]Maka jika kamu tidak melakukan (perintah tinggalkan riba itu) maka ketahuilah Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu ialah pokok asal harta kamu. Kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

Riba itu melibatkan dosa dengan Allah dan makhluk, terutama orang miskin kerana menganiayai mereka. Mengambil kesempatan ke atas orang miskin hukumnya haram. Bahkan dosa riba lebih besar dari dosa meniduri ibu dan 36 kali zina bagi setiap dirham riba.

Nabi SAW bersabda : Ertinya : ” Riba mempunyai 73 pintu, Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.” (Ibn Majah, 2/764 ; Al-Hakim, 2/37 Al-hakim: Sohih menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim)

Nabi SAW bersabda :Ertinya : “Satu dirham Riba yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk dari berzina sebanyak 36 kali” (Musnad Ahmad)

Bukan saja pemakan, bahkan mereka yang terlibat dengannya, Nabi SAW telah bersabda : “Dilaknati pemakan riba, penulis riba dan yang menjadi saksinya” (Riwayat al-Bukhari dan Ibn Majah)

Dalam mazhab Hanafi dibolehkan mengambil riba daripada golongan kafir di negeri kafir, berdasarkan sebuah hadith “tidak dikira riba yang diambil daripada orang kafir di negeri kafir” (suka sama suka dan secara sukarela di antara mereka). Mazhab-mazhab lain tetap mengharamkannya.

3) Menzalimi (memakan) harta anak-anak yatim dengan tiada hak

An-Nisaa [6] Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru (merebut peluang) sebelum mereka dewasa dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah dia menahan diri (dari memakannya) dan sesiapa yang miskin maka bolehlah dia memakannya dengan cara yang sepatutnya. Kemudian apabila kamu menyerahkan kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (yang menyaksikan penerimaan) mereka dan cukuplah Allah sebagai Pengawas (akan segala yang kamu lakukan).

An-Nisaa [10] Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka dan mereka pula akan masuk ke dalam api Neraka yang menyala-nyala.

Sebaliknya jika mereka menguruskannya secara baik:

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Orang-orang yang bertanggungjawab mengurus anak yatim, baik dari keluarga sendiri atau tidak, maka aku dan dia seperti dua ini di syurga kelak.” Dan baginda memberi isyarat dengan merapatkan jari telunjuk dan jari tengah (ertinya berdekatan).” (Bukhari)

4) Penderhaka pada ibu bapanya

Dari Mu’awiyah bin Jahimah yang datang kepada Nabi S.A.W. dan berkata: “Wahai Rasulullah, aku ingin pergi perperang, aku datang untuk meminta pandangan-mu. Nabi S.A.W. bertanya: Apakah kamu mempunyai ibu? Jawabnya: “Ya”. Sabda Nabi S.A.W.: Peliharalah (berbuat baiklah kepada) dia, sesungguhnya syurga berada di bawah dua kakinya.

Luqman 1 Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya)..

Dalam sebuah riwayat diceritakan ketika Nabi S.A.W. sedang berehat di atas pelamin di syurga, datang Malaikat Jibril memberitahu “umatmu masih ada dalam neraka” Lalu Baginda terperanjat dan terus menaiki ke buraq untuk ke neraka dan bertanya “Apakah kesalahannya?” “Dia seorang anak yang derhaka”. “Kalau begitu aku membuat syafaat ke atasnya”. Namun syafaat itu dinafikan Allah kerana ini adalah kes di antara anak dan ibubapanya. Kemudian Baginda menaiki kuda yang bersayap delima merah untuk ke syurga bagi menemui ibubapanya untuk mengampunkan dosanya. Namun ibubapanya itu enggan mengampunkannya kerana kesalahannya di dunia dahulu. Lalu Baginda berdoa meminta agar Allah membuka hijab dan menunjukkan seksaan ke atas anaknya itu kepada ibunya. Apabila melihat anaknya yang terseksa itu, kembalilah naluri keibuaannya dan dimaafkan anaknya itu.

Jagalah hati kedua ibubapa dan bantulah mereka khasnya semasa mereka amat memerlukan pertolongan anaknya.

No comments:

Post a Comment

Pages