Saturday, May 15, 2010
Tips Temuduga Terbaik
Alam pelajaran sudahpun tamat dan kini menyusul pula alam pekerjaan. Sedikit demi sedikit, perjalanan hidup anda mula berubah dan menjadi semakin panjang. Petandanya adalah anda dan ramai graduan lain
akan memulakan satu perlumbaan mencari kerjaya idaman.
Namun, dalam setiap persaingan, pasti ada golongan yang menang dan golongan yang kalah. Begitu juga halnya dalam perlumbaan mencari pekerjaan. Siapa yang mempunyai kelayakan yang cukup di mata majikan, dialah yang menang. Itu satu lumrah.
Justeru, entri kali ini akan memaparkan 10 faktor mengapa anda boleh gagal dalam perlumbaan mencari kerja yang anda idam-idamkan. Entri ini saya dedikasikan khas kepada sahabat-sahabat saya yang akan tamat diploma mereka pada pertengahan tahun ini. :)
1. Tiada Keyakinan Diri
Disebabkan kurang pengalaman atau kurang maklumat mengenai hal-hal semasa. Oleh itu, calon dinasihatkan agar banyakkan pergaulan untuk menambah pengetahuan dan keyakinan apabila berinteraksi. Calon juga perlu memperbanyak membaca bahan-bahan ilmiah atau menonton dokumentari-dokumentari bagi menambah pengetahuan semasa mereka.
Untuk menambah keyakinan diri, calon juga dinasihatkan agar membaca tip-tip untuk lulus dalam temuduga, tidak kira untuk lulus temuduga kerja kerajaan ataupun temuduga di syarikat swasta.
2. Tiada persediaan
Tidak membuat persediaan secara fizikal dan mental untuk menghadapi dunia pekerjaan ketika belajar dan selepas menamatkan pengajian di pusat pengajian tinggi.
3. Gagal Menguasai Komunikasi
Masalah ini biasa dihadapi oleh calon dari luar bandar, biasanya ketika melibatkan penggunaan medium komunikasi dalam bahasa asing seperti bahasa inggeris. Oleh itu, buka minda dan lapangkan pemikiran untuk menguasai bahasa inggeris.
4. Terikat Dengan Kelulusan
Ada di kalangan graduan atau pencari kerja yang tidak mahu bekerja selain daripada pekerjaan yang berkaitan dengan kelulusan yang dimiliki. Jadi peluang untuk mendapat kerja menjadi semakin sempit.
5. Kurang Kenalan
Semakin ramai kenalan semakin besarlah peluang anda untuk mendapat pekerjaan. Salah seorang daripada kenalan anda mungkin merupakan pekerja di sebuah organisasi. Jadi mereka mungkin tahu bila syarikat atau tempat kerja mereka mahu mengambil kakitangan baru. Jadi mereka pasti menghubungi anda mengenai peluang tersebut.
6. Kurang Bergaul(bersosial)
Kurang kecenderungan untuk bergaul dengan masyarakat luar sebaliknya menghadkan pergaulan kepada rakan seperjuangan atau ahli keluarga sahaja. Ini menyebabkan maklumat dan pengetahuan yang dimiliki agak terbatas. Ingat, pergaulan yang luas dapat meningkatkan daya komunikasi sama ada secara formal atau sebaliknya.
7. Kurang Penampilan
Tidak membiasakan penampilan diri yang kemas, segak anggun, menarik dan bergaya setiap hari. Ini menyebabkan anda kurang selesa dan kekok berkeadaan sebegitu ketika menghadiri temuduga.
8. Memilih Kerja
Ada di kalangan pencari kerja terlalu mengecilkan ruang dengan mencari jawatan yang diidamkan sahaja dan tidak mahu mencuba pekerjaan lain untuk mengumpul pengalaman.
9. Tidak Peka Perkembangan Semasa
Tidak peka terhadap apa yang berlaku di sekitar anda sama ada dari segi sosial, politik dan ekonomi menyebabkan anda tidak ada maklumat semasa yang terkini. Bayangkan jika penemuduga bertanya soalan seperti ini, “Siapa menteri kemajuan luar bandar dan industri asas tani ?” Jika anda jawab Muhyiddin Yassin. Habislah…
10. Kelulusan Tidak Sesuai
Kejadian ini berlaku disebabkan kursus yang dipilih ketika menuntut di institusi pengajian tinggi tidak sesuai dengan permintaan pasaran kerja.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment